fb fb fb fb fb

Pahang teruskan inisiatif Air Percuma, manfaatkan golongan sasar

Gambar hiasan.

KUANTAN, 6 Ogos - Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM7.3 juta setahun bagi melaksanakan Program Air Percuma Pahang 1st, yang memberi manfaat kepada kira-kira 38,000 pengguna di seluruh negeri.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dalam satu kenyataan berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) telah bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan program Rebat Air Makmur (RAM) yang kini dijenamakan semula sebagai Program Air Percuma Pahang 1st, selaras dengan pelancaran Aspirasi Pahang 1st baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan inisiatif itu melibatkan pemberian 20 meter padu pertama air secara percuma setiap bulan kepada golongan sasar yang dikenal pasti. Langkah tersebut, katanya, dapat dilaksanakan berdasarkan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) yang semakin kukuh.

Menurutnya, kerajaan berharap inisiatif ini dapat memastikan golongan sasar tidak terkesan dengan kos penggunaan air, selain menikmati manfaat secara langsung daripada program tersebut.

Pada masa sama, beliau turut menggesa semua pengguna di Pahang untuk mengamalkan langkah penjimatan penggunaan air dan mengelakkan pembaziran demi kelestarian sumber air negeri.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN