fb fb fb fb fb

UTHM-OISCA buka peluang pelajar ikuti program mobiliti, latihan industri di Jepun

MoU berkenaan ditandatangani oleh Naib Canselor UTHM, Prof. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali dan Naib Presiden Eksekutif OISCA International, Yasuaki Nagaishi, di sini hari ini/Foto Universiti Tun Hussein Onn Malaysia UTHM

PUTRAJAYA, 6 Ogos – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama The Organization for Industrial, Spiritual and Cultural Advancement (OISCA), Jepun dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di sini.

Perjanjian selama lima tahun itu menyaksikan kedua-dua pihak menjalinkan kerjasama strategik dalam bidang mobiliti pelajar, akademik, penyelidikan, pembangunan komuniti serta pemeliharaan alam sekitar.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Naib Canselor UTHM, Prof. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali dan Naib Presiden Eksekutif OISCA International, Yasuaki Nagaishi, disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.

Menurut Prof. Dr. Mas Fawzi, kerjasama ini bakal membuka ruang lebih luas kepada pelajar dan pensyarah UTHM untuk mengikuti program mobiliti serta latihan industri di Jepun, selain memperkukuh jaringan industri antarabangsa.

“Kita jangkakan seramai lima pelajar akan dihantar ke Jepun setiap tahun melalui program mobiliti ini. Difahamkan, Jepun kini berdepan kekurangan tenaga kerja.

"Sehubungan itu, ini menjadi peluang besar kepada graduan Malaysia untuk menimba pengalaman, mempelajari teknologi Jepun, dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara apabila kembali,” katanya.

Sementara itu, Datuk Mustapha menyifatkan kerjasama ini sebagai satu langkah strategik yang selari dengan matlamat UTHM ke arah menjadi Global Technopreneur University 2030.

"Ini adalah kerjasama jangka panjang yang penting dalam usaha melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten, tetapi juga peka terhadap isu global dan kelestarian alam. Jepun dan OISCA khususnya mempunyai pengalaman luas yang boleh dimanfaatkan oleh warga UTHM,” katanya.

MoU ini turut melibatkan penempatan industri untuk staf akademik, pelaksanaan projek penyelidikan bersama, serta program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berkaitan pemuliharaan alam sekitar.

OISCA merupakan sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang berpengalaman lebih 60 tahun dalam mempromosikan kerjasama antarabangsa berteraskan nilai industri, spiritual dan budaya. Organisasi ini beroperasi di lebih 40 buah negara dan disokong oleh lebih 2,000 industri di Jepun.

Kerjasama ini dijangka menjadi pemangkin kepada penglibatan global warga UTHM dan melonjakkan lagi pencapaian universiti dalam bidang kejuruteraan, teknologi serta pembangunan lestari.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI