KUALA LUMPUR, 17 Oktober- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyambut baik hasrat kerajaan untuk memendekkan tempoh memproses pensijilan halal daripada 51 hari kepada 30 hari.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dalam satu kenyataan berkata penilaian dan kajian terperinci telah dilakukan dengan kerjasama Malaysian Productivity Corporation (MPC) untuk memastikan kaedah bersesuaian dapat dilaksanakan bermula daripada peringkat prapensijilan sehingga pasca pensijilan halal.
JAKIM turut menstruktur semula birokrasi permohonan dengan meningkatkan keupayaan sistem sokongan sedia ada tanpa menjejaskan pematuhan industri terhadap standard dan prosedur pensijilan halal Malaysia yang berkuat kuasa.
Sementara itu, JAKIM dengan kerjasama MAMPU juga dalam usaha menaik taraf Sistem MYeHALAL 2.0 agar ia lebih mesra pengguna dan menepati keperluan teknologi semasa.
JAKIM juga mengalu-alukan penglibatan sektor swasta dalam membangunkan sistem sokongan halal seperti i-Bimbing dan MyHMS bagi membantu pihak industri membuat persiapan yang rapi sebelum mengemukakan permohonan pensijilan halal.
JAKIM akan memberi sepenuh komitmen agar pengurusan tatakelola halal dan pengurusan pensijilan halal ditambah baik dari semasa ke semasa demi memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju halal global.
(Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff)