BANGSAR, 10 Januari - Seperti diumumkan sekolah kumpulan B, hari ini memulakan sesi persekolahan untuk penggal ketiga 2021/2022.
Tinjauan wartawan RTM di Sekolah Kebangsaan Bangsar di ibu negara, mendapati langkah kawalan kesihatan terus diberi perhatian oleh pihak sekolah.
Malah ada ibu bapa yang membuat ujian saringan COVID-19 sendiri sebelum menghantar anak ke sekolah.
"Ada pesan untuk jaga jarak dan kesihatan. ada buat test swab (ujian saringan). Kalau boleh, untuk kesihatan anak saya di sini terjaga cikgu-cikgu sekolah. In shaa-Allah, akan terjagalah. kalau boleh nak seluruh anak-anak di sekolah ini aktif". kata Zulpiah Ibrahim yang ditemui ketika menghantar anaknya ke sekolah.
Seorang lagi penjaga, Mohd Farid Mohd Zahaimi berkata pihak sekolah mengenakan SOP ketat dan tiada masalah baginya untuk mematuhi ke semua peraturan tersebut.
"Dari segi itu, memang jaga SOP lah. Fahamkan anak-anak tentang SOP, jaga penjarakan, mask, kemudian sanitize lah. Harapan saya untuk sekolah agar dapat menjaga disiplin dan SOP murid murid. bagi kefahaman yang mantap untuk mereka menjalani sekolah dengan lancar, katanya.
"Saya dah cakap dekat anak-anak, nak makan, nak beli jangan ramai-ramai, mesti ikut SOP, beli dan makan dalam kelas untuk lebih selamat. Saya juga minta pihak sekolah, untuk menjaga anak murid, kita dah serah pada cikgu pandai-pandailah cikgu aturkan.minta-minta jangan jadi apa-apalah, kata seorang lagi bapa, Abd Khalid Ibrahim.
Tinjauan juga mendapati, kesemua SOP mencegah COVID-19 dipatuhi sewajarnya, termasuk pemakaian pelitup muka dan penggunaan cecair pembasmi kuman.
Selain itu, pemeriksaan suhu di pintu pagar sekolah turut dilakukan.
Sistem penggiliran secara mingguan juga diamalkan selaras garis panduan Kementerian Pendidikan.
Ini bagi memastikan tiada pertembungan pelajar sekali gus memudahkan operasi dan kawalan pergerakan pelajar sepanjang sesi persekolahan.
Sesi penggal ketiga sepatutnya bermula pada 2 Januari 2022 bagi sekolah Kumpulan A dan 3 Januari 2022 bagi Kumpulan B.
Namun terpaksa ditangguhkan selama seminggu berikutan bencana banjir di beberapa negeri.