KANGAR, 25 Mac - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perlis akan memperketat kawalan keselamatan di setiap pintu masuk sempadan darat negeri itu susulan pengumuman kerajaan baru-baru ini.
Ia bagi mengekang aktiviti penyeludupan berlaku susulan pengumuman pembukaan sempadan tersebut.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata pihaknya sentiasa memantau situasi bagi mengelakkan jenayah rentas sempadan terus berleluasa.
"Sebabnya laluan itu tetap sama sebab kalau mereka hendak menyeludup, dia tidak akan ikut laluan yang betul, dia akan ikut laluan tikus dan sebagainya.
"Laluan tikus tu sebelum endemik pun memang sudah ada, jadi apa yang kita buat, adalah kawalan seperti biasa, kawalan sempadan yang dibuat oleh PGA kita akan kekalkan dan kita akan tingkatkan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini.
Dalam majlis tersebut, seramai 56 individu terdiri daripada Pegawai kanan Polis, anggota lain lain pangkat dan orang awam diberi penghargaan atas sumbangan kepada PDRM Perlis.