KUALA LUMPUR, 31 Januari – Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 pada 3 Februari ini dijangka akan menekankan aspek pembangunan negara oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul, berkata titah baginda dijangka memberi perhatian terhadap pemulihan ekonomi negara serta peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan AIPA (Persidangan Antara Parlimen ASEAN).
"Saya percaya Tuanku akan menitikberatkan tentang pembangunan negara, lebih-lebih lagi dengan petunjuk awal bahawa ekonomi telah pulih dan nilai ringgit semakin kukuh. Namun, lebih penting adalah bagaimana kita dapat mengambil peranan sebagai Pengerusi ASEAN dan AIPA dengan baik," katanya ketika ditemui selepas raptai penuh istiadat pembukaan Parlimen, hari ini.
Seawal 7.30 pagi, pasukan kawalan kehormat yang terlibat dalam istiadat telah bersiap sedia menjalani latihan di pekarangan Dataran Parlimen.
Sultan Ibrahim akan merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 pada 3 Februari pukul 10.00 pagi di Dewan Rakyat.
Raptai yang dijalankan hari ini meliputi semua acara rasmi mengikut adat istiadat dan protokol, termasuk Kawalan Kehormat Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
Sidang Dewan Rakyat akan bermula 4 Februari hingga 6 Mac, dengan perbahasan Usul Menjunjung Kasih oleh Ahli Parlimen yang dijadualkan berlangsung dari 4 Februari hingga 18 Februari.
Selepas itu, sesi jawapan balas daripada kementerian berkaitan akan diadakan selama empat hari, bermula 19 Februari hingga 25 Februari.
Parlimen kali ini dijangka membahaskan pelbagai isu penting, termasuk hala tuju pembangunan negara serta strategi ekonomi dalam menghadapi cabaran global semasa.