fb fb fb fb fb

Nahas pesawat di Washington DC: Anwar dukacita, ucap takziah

Pesawat Bombardier milik PSA Airlines bertembung di udara dengan helikopter tentera Black Hawk berhampiran Lapangan Terbang Nasional Ronald Reagan, Washington, D.C/Foto AFP-Getty Images

KUALA LUMPUR, 31 Januari - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meluahkan rasa dukacita atas nahas penerbangan tragis yang berlaku di Lapangan Terbang Nasional Reagan, Washington, DC.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata bahawa keluarga dan rakan-rakan di Amerika Syarikat, Rusia, China, Filipina, dan Jerman kini sedang meratapi kehilangan insan tersayang, sementara pasukan kecemasan giat menjalankan usaha mencari dan menyelamat.

"Sangat memilukan apabila mendapat tahu bahawa antara yang terkorban adalah para atlet luncur ais berbakat yang memiliki masa depan yang cerah.

"Dalam saat duka ini, saya berharap keluarga mereka diberi kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi kesedihan yang mendalam ini," katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa rakyat Malaysia turut bersimpati dan berkongsi kesedihan bersama mereka yang terjejas akibat tragedi ini.

Pada malam Rabu, sebuah pesawat Bombardier milik PSA Airlines bertembung di udara dengan sebuah helikopter tentera Black Hawk berhampiran Lapangan Terbang Nasional Ronald Reagan, Washington, D.C.

Kejadian berlaku ketika pesawat tersebut sedang menghampiri landasan untuk mendarat.

Akibat perlanggaran itu, kedua-dua pesawat terhempas ke dalam Sungai Potomac.

Kesemua 67 orang di dalamnya terkorban, termasuk beberapa pemain luncur ais AS yang telah mengambil bahagian dalam kem pembangunan Luncur Ais AS di Wichita, Kansas.

Pesawat itu membawa 64 penumpang dan anak kapal ketika ia berlepas dari Wichita, manakala helikopter Tentera AS membawa tiga anggota dalam penerbangan latihan.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN