fb fb fb fb fb

Ketulan dipercayai tulang manusia ditemui di Kuala Terengganu

Orang awam menemui serpihan tulang dipercayai milik manusia di kawasan semak berhampiran kuarters jabatan kerajaan tidak berpenghuni di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 31 Januari- Polis mengesahkan penemuan ketulan tulang dipercayai milik manusia di Pantai Batu Burok Dua di sini selepas ia ditemui orang awam di kawasan semak berhampiran kuarters jabatan kerajaan tidak berpenghuni, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Azli Mohd Noor berkata sejumlah 34 ketulan tulang telah dikumpulkan untuk dihantar ke Unit Patologi Hospital Sultanah Nur Zahirah dan Jabatan Kimia Terengganu bagi tindakan lanjut.

Azli berkata risikan lanjut sedang dijalankan.

Usaha mengesan pemilik tulang berkenaan bergantung kepada hasil pemeriksaan perubatan dan kimia termasuk analisis jantina, tempoh kematian serta maklumat lain yang akan diperoleh kemudian.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan penemuan tersebut dan individu yang mempunyai maklumat lanjut diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.

SITI AISHAH MD ISA