fb fb fb fb fb

Rakyat diseru tumpu kepentingan negara - PM

Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Ipoh hari ini/RTM

IPOH, 31 Januari- Kestabilan politik serta tadbir urus negara yang baik kini memberikan hasil positif apabila pertumbuhan ekonomi negara terus berkembang dan mampan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, Anwar mengajak seluruh rakyat untuk menumpukan kepada kemajuan dan kepentingan negara dan tidak memfokuskan perkara yang boleh memecahbelahkan perpaduan.

Beliau berkata Malaysia harus menjadi negara contoh perpaduan kaum yang baik.

"Jangan hiraukan isu-isu sering dibangkitkan terutama melibatkan pelbagai kaum, agama, negeri dan wilayah kerana ia sering dimainkan oleh segelintir pihak yang mahu menjadi 'jaguh kaum' masing-masing. (Justeru) saya menyeru majoriti rakyat memikirkan kepentingan negara secara keseluruhannya.

"Negara ini harus dijadikan contoh perpaduan yang baik antara semua kaum, dengan meningkatkan ekonomi demi faedah bersama," katanya dalam ucapan semasa Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di sini hari ini.

Anwar turut menyeru agar amalan saling menghormati, meraikan kepelbagaian budaya, agama dan etnik serta tradisi mengunjungi rumah terbuka dimanfaatkan untuk mempererat hubungan sesama rakyat.

"Kita boleh memilih sama ada untuk terus bertelagah atau memberi tumpuan kepada perpaduan demi membangunkan ekonomi negara. Dengan dasar ekonomi yang jelas, kita boleh memastikan pembangunan di seluruh negara terus diperkasakan," tambahnya.

Perdana Menteri juga menegaskan mengangkat martabat rakyat dan memastikan kemajuan negara harus menjadi fokus utama tanpa sebarang pertelingkahan yang boleh menggugat keharmonian.

SITI AISHAH MD ISA