fb fb fb fb fb

Pembudayaan nilai murni, tingkat kemahiran kendiri pelajar

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

KANGAR, 6 Julai-Pemupukan nilai-nilai murni merupakan elemen yang sangat penting dan perlu ada dalam diri setiap pelajar bagi melahirkan individu yang mempunyai sahsiah dan peribadi yang unggul.

Nilai-nilai ini juga mampu membantu pelajar untuk mengadaptasi dan menghadapi sebarang cabaran mahupun rintangan untuk berjaya dalam pelbagai aspek.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, setiap pelajar juga perlu melengkapkan diri masing-masing dengan kemahiran interpersonal untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan baik secara individu mahupun berkumpulan bagi membolehkan pelajar untuk mampu bertukar idea dan pemikiran antara satu sama lain, melahirkan pelajar mahir berunding bagi mencapai satu persetujuan bersama dan yang utama sekali dapat menangani sebarang konflik dengan baik.

“Dalam mencapai hasrat sekolah untuk ‘Derma Must Be Number One’, para pelajar semua mestilah mendahului adab dan berdisiplin dalam mendalami serta menguasai ilmu pengetahuan."

"Adab terhadap guru perlu diberi keutamaan, kunci utama keberkatan ilmu adalah menghormati dan memuliakan guru”, titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat ke Majlis Hari Anugerah Cemerlang dan Hari Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Derma bagi sesi akademik 2024/2025.

Baginda turut berkenan untuk menyempurnakan perasmian Hari Anugerah Cemerlang tersebut dan pengurniaan anugerah kepada 25 orang penerima bagi Anugerah Ketua Pengawas, Anugerah Timbalan Ketua Pengawas, Anugerah Pelajar Semua A SPM, Anugerah Pelajar Terbaik SPM Peringat Sekolah dan Negeri Perlis.

ROSLINA BINTI DIN