BUKIT MERTAJAM, 1 Februari- Kerajaan Negeri Pulau Pinang menegaskan, pembinaan tapak perkuburan Islam berpusat di Seberang Perai Utara sedang dalam proses akhir dan akan dilaksanakan mengikut prosedur.
Penjelasan itu susulan video tular di TikTok yang memaparkan gesaan penduduk Sungai Dua agar Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mempercepatkan pembangunannya.
Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM7 juta bagi pembelian tanah perkuburan di kawasan Sungai Dua bagi menampung keperluan penduduk.
"Tidak ada isu berkaitan dengan tanah perkuburan umat Islam di negeri Pulau Pinang cuma di kawasan Sungai Dua, bila orang kata wujud taman-taman baru, maka kerajaan negeri telah mengambil alih, membuat pengambilan dan pembelian tanah dengan jumlah RM7 juta.
"Proses itu dah selesai dan peruntukan RM500,000 juga telah selesai dan ada beberapa proses teknikal lagi berkaitan dengan yang perlu dibuat oleh pihak JKR dan Jabatan Halal dan Agama Islam Negeri Pulau Pinang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Agihan Zakat Pembelian Tanpa Tunai Kembali ke Sekolah 2025 di Mydin Jalan Baru pagi tadi.
Tambahnya, walaupun terdapat kawasan tertentu yang penuh, penyelesaian alternatif seperti tanah wakaf dan pengebumian bertingkat telah dilaksanakan sebelum ini.
Beliau menyeru agar tiada pihak memanipulasi isu itu atau mengadakan perhimpunan yang boleh menimbulkan persepsi negatif.
Tegasnya kerajaan negeri sentiasa memastikan keperluan tanah perkuburan mencukupi untuk masyarakat Islam di Pulau Pinang.