fb fb fb fb fb

MyIPO rekodkan 51,591 pendaftaran harta intelek pada 2024

Pengerusi MyIPO, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain / BERNAMA

JOHOR BAHRU, 1 Februari- Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) merekodkan 51,591 pendaftaran harta intelek tahun lalu, dengan 33,518 daripadanya terdiri daripada pemilik harta intelek luar negara.

Pengerusi MyIPO, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, hanya 18,073 pemilik harta intelek dalam negara mendaftar, dalam tempoh tersebut.

Statistik permohonan untuk mendaftar harta intelek daripada pemilik luar negara adalah seramai 42,635 berbanding 23,025 permohonan yang diterima oleh pemilik tempatan.

Pihaknya komited menjalankan pelbagai program pada tahun ini, untuk meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung kepentingan mendaftar harta intelek.

Seterusnya, menyumbang kepada pertambahan kadar pendaftaran harta intelek bagi 2025.

Fokus juga akan diberikan kepada Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME).

"Mereka yang mendaftar harta intelek, hanya 10 peratus, jadi  kita turun ke padang kita bertemu dengan mereka, bekerjasama dengan kerajaan negeri dan kita membuat penglibatan yang baik.

"Alhamdulilah kesedaran sampai kepada mereka dan pendaftaran itu berlaku dan akhirnya peningkatan itu berlaku dalam kalangan SME," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program MyIPO di Hati di Johor Bahru, yang menyaksikan 200 pelajar menerima sumbangan berjumlah RM30,000, serta sumbangan sepuluh ribu ringgit kepada Masjid Taman Pulai Indah.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE