LIPIS, 19 Mei- Projek pembinaan Lingkaran Tengah Utama (LTU) bernilai RM1 bilion antara Karak ke Simpang Pelangai, Bentong bakal dibina.
Pembinaan peojek itu akan dilaksana setelah reka bentuk laluan jajaran tersebut siap menjelang Ogos ini, sebelum dibawa ke pengetahuan pihak kerajaan negeri Pahang.
Timbalan Menteri kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) kini dalam peringkat menyediakan reka bentuk jajaran laluan berkenaan bermula daripada Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) ke Simpang Pelagai kira-kira sejauh 30 kilometer.
"Sebenarnya kita memang ada perancangan untuk menyambung laluan hingga ke negeri Johor, Negeri Sembilan. Tetapi untuk fasa pertama ini, laluan itu akan dibuat ke Pelangai," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Kerja Raya di sini.
Tambahnya, setelah reka bentuk itu siap, pihak JKR akan membawa ke pengetahuan kerajaan negeri dan kemudiannya akan dibentangkan menjelang Bajet 2024 pada penghujung tahun ini.
Beliau sebelum itu diminta mengulas kenyataan seorang Pengerusi Jawatan Kuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam sekitar dan Teknologi Pahang, Datuk Seri Johari Harun supaya kerajaan menyambung jalan raya di bawah projek LTU antara Karak ke Simpang Pelangai.
Katanya, pihak JKR juga dalam perancangan untuk menyambung projek LTU antara Simpang Pelangai, Bentong melalui Negeri Sembilan ke Johor Bharu selepas projek LTU Karak - Simpang Pelangai dibina.
(Abdul Rahman Mohamad)