PARIT, 3 Mac- Perak sedang menunggu kelulusan daripada kerajaan Persekutuan berhubung projek pembinaan lebuh raya West Ipoh Span Expressway (WISE) yang bakal dilaksana tahun hadapan.
Projek yang bakal dibina itu membabitkan laluan sepanjang 64 kilometer, bermula dari susur keluar Gopeng melalui Siputih sebelum keluar di Kuala Kangsar.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saraani Mohamad berkata pihaknya sedang menunggu untuk mendapatkan perjanjian konsesi dalam meneruskan projek yang dirancang sejak tahun 2021.
"Menerusi pemantauan, saya dapati pihak kontraktor melakukan kerja-kerja yang sepatutnya, cuma sekarang ini ia memerlukan beberapa proses rasmi untuk dibawa ke kabinet.
Apabila kabinet bersetuju, kabinet akan mengeluarkan perjanjian konsesi kepada kontraktor berkenaan," kata Saarani kepada pemberita RTM selepas program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 Siri 2 di Arena Square, di sini.
(Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saraani Mohamad ditemui pemberita RTM selepas program
Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 Siri 2 di Arena Square, di sini)
Tambahnya, kerajaan negeri yakin dan optimis bahawa pembinaan laluan alternatif itu berupaya mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang melibatkan Terowong Menora di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).
Jelasnya, projek itu sepatutnya dilaksanakan pada tahun lepas tetapi ditangguhkan akibat pembubaran kabinet.