JOHOR BAHRU, 30 Oktober-Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan sektor swasta bagi membangunkan 18 loji memproses sisa pepejal kepada tenaga (WTE), di beberapa negeri.
Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Hee Loy Sian berkata, ia bagi menampung kos pembinaan yang dijangka boleh mencecah sehingga RM 1 bilion
Menurutnya, pembinaan WTE merupakan langkah yang terbaik dalam menyelesaikan masalah kekurangan tapak pelupusan sampah, buat jangka masa panjang.
Ia akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 10 tahun
"Buat masa ini kita ada satu Port Dickson. Jadi, yang kedua kita sedang bina di Bukit Payung iaitu 'World Wide Holding akan menjalankan tugas. Ketiga, kita akan buat di Sungai Udang, Melaka tidak lama lagi.
"Di peringkat akhir, di Selangor. Usaha Kerajaan Negeri Selangor sedang berjalan. Pada masa depan, kita akan buat tiga lagi loji, iaitu dua di Jeram, dan satu di Tanjung 12", katanya demikian ketika ditemui semasa Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKISS) Peringkat Negeri Johor 2024 di sini.
Terdahulu, hasrat negara membina 18 loji WTE itu didedahkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, ketika persidangan Dewan Rakyat, Julai lalu.
Projek yang dilaksanakan menjelang 2040 itu diyakini lebih selamat dan dilengkapi sistem rawatan gas serombong bagi merawat gas berbahaya daripada dilepaskan ke udara.