fb fb fb fb fb

Pemberian subsidi harus bersasar, bukan untuk golongan kaya dan industri - Anwar

(FOTO BERNAMA)

PUTRAJAYA, 27 November - Pemberian subsidi kepada rakyat harus dilaksanakan secara bersasar dalam memastikan hanya golongan yang benar-benar memerlukan menikmatinya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata implikasi subsidi tidak bersasar sebelum ini perlu diteliti kerana turut dinikmati golongan kaya dan industri.

Justeru tempoh dua minggu diberi untuk mengkaji isu kos sara hidup rakyat sebelum dibentangkan kepada kabinet.

(Datuk Seri Anwar Ibrahim / FOTO BERNAMA)

"Ini juga melibatkan soal tarif elektrik. Tarif elektrik dari segi angka yang dibentangkan itu manfaat kepada golongan miskin hampir sama dengan manfaat golongan kaya sekitar RM2.5 bilion. Jadi bagi saya tidak munasabah, namanya subsidi tetapi dapat manfaat kepada yang lain.

"Subsidi untuk elektrik itu akan diteruskan saya tidak mahu ada kebimbangan subsidi untuk rakyat tetapi untuk golongan terkaya dan industri besar tidak harus memperoleh ini kerana ia beban kewangan yang besar kepada kerajaan," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022, di sini.

Tambah Anwar, walaupun golongan kaya dan industri besar tidak memperoleh subsidi kerajaan, beberapa kemudahan dan insentif akan diperbaiki agar tidak membebankan.

Media Baharu