(Foto hiasan)
KOTA BHARU, 10 Jun- Langkah kerajaan meneruskan pemberian subsidi kawalan harga ayam dan telur ayam merupakan pendekatan proaktif yang diambil tepat pada masanya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perkara itu tidak seharusnya dijadikan isu sama ada ia perlu diteruskan atau tidak, memandangkan kerajaan sentiasa memberi keutamaan serta komitmen tinggi dalam memastikan hak rakyat terbela.
Jelas beliau, setiap bulan kerajaan membelanjakan kira-kira RM200 juta bagi tujuan pemberian subsidi barangan keperluan termasuk ayam dan telur ayam.
"Kita mengambil kira tentang rakyat yang masih memerlukan bantuan kerajaan, khususnya untuk mendapat protein yang paling murah ini, iaitu ayam dan telur.
"Jadi semalam, kerajaan tidak keberatan untuk menyambung terus pemberiaan subsidi itu demi untuk kita memastikan untuk rakyat dapat membeli harga ayam dan telur di kawal kerajaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) dan Menu Rahmah peringkat negeri Kelantan di Pasar Siti Khadijah, di sini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju supaya pemberian subsidi serta kawalan harga ayam dan telur yang sepatutnya berakhir 30 Jun ini diteruskan selepas 1 Julai depan.
Sementara itu, mengulas mengenai program ReDi, beliau berkata kerajaan menyasarkan 30,000 peniaga mendaftar menyertai program itu hingga hujung tahun ini.
Program bertujuan untuk memberi sokongan, sumber daya dan bantuan teknologi kepada usahawan dan peniaga dalam memasuki era digital yang semakin canggih dan kompleks dengan penekanan terhadap keperluan traksaksi perniagaan tanpa tunai.
(Salahuddin Ayub)
Artikel berkaitan:
PM setuju subsidi ayam, telur diteruskan demi kebajikan rakyat