KUALA KANGSAR, 10 Jun - Kerajaan sedia pertimbang untuk menaikkan harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi menjamin kelangsungan para pekebun kecil getah di negara ini.
Bagaimanapun perkara itu, perlu dilihat kepada kemampuan kerajaan untuk melaksanakannya.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pihaknya akan melakukan perbincangan bersama Kementerian Kewangan berhubung perkara itu.
"Input untuk perladangan sekarang ini naik khususnya baja dan sebagainya, disitulah mereka melihat bahawa untuk balik modal mereka melihat bahawa RM3 itu apa yang mereka harapkan.
"Jadi saya akan bawa kepada peringkat kerajaan kabinet dan akan mencadangkan Kementerian Kewangan untuk melihat samada boleh mempertimbang kan tidak mengikut kemampuan sedia ada kerajaan," kata Fadillah di sini.
(Fadillah bercakap dalam sidang media selepas
Majlis Perasmian Program Trek Komoditi KPK 2023 Zon Utara di SMK Clifford, di sini)
Pada pembentangan Bajet 2023, kerajaan telah bersetuju meningkatkan harga lantai getah dari RM2.50 kepada RM2.70 dengan peruntukan sebanyak RM350 juta.
Sementara itu, Kuala Kangsar dipilih menjadi lokasi pertama bagi pelaksanaan Program Trek Komoditi Kementerian Perdagangan dan Komoditi (KPK) 2023 peringkat Zon Utara, kerana daerah itu menjadi lokasi penanaman pokok getah pertama di Tanah Melayu.
Fadillah yang juga Menteri KPK berkata, Trek Komoditi KPK 2023 yang dilaksanakannya itu menjadi medium kepadanya untuk menyantuni pekebun kecil dan pemain industri komoditi secara langsung.
"Jadi kita akan dapat menyelami dan memerhati sendiri apa yang berlaku di peringkat akar umbi ataupun di peringkat lapangan dan itulah nanti kita dapat nilaikan dimana kita boleh tambah baik dan kali ni bukan saja kita mendengar daripada sosial media daripada luahan-luahan tetapi kita dapat berjumpa dan berinteraksi dan itu yang kita mahukan supaya kita dapat betul-betul merasai nadi rakyat," katanya lagi.
Trek Komoditi KPK 2023 bakal diteruskan ke Zon Sabah dan Sarawak pada Julai dan Ogos depan.