fb fb fb fb fb

Kerajaan teliti pendedahan laporan sulit kehilangan Amri Che Mat - Saifuddin

(Saifuddin Nasution (kiri) dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (kanan) dalam sesi penerangan projek bina baharu
bengkel mata pelajaran RBT Sekolah Kebangsaan Jabi di Pokok Sena, Kedah)

POKOK SENA, 10 Jun- Kerajaan akan meneliti laporan sulit Pasukan Petugas Khas mengenai kehilangan aktivis sosial, Amri Che Mat supaya langkah bersesuaian dapat dilakukan berhubung pendedahan laporan itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismali berkata, beliau akan membawa perkara tersebut ke peringkat 'lebih atas' bagi melihat kembali langkah yang boleh dilaksanakan kerajaan.
 
"Tentunya saya akan bawa perkara ini ke peringkat 'lebih atas' lagi untuk tengok balik tentang langkah yang akan kita (kerajaan) ambil seterusnya.

"Amri hilang lama dah (dilaporkan pada 2016) bukan semasa (Datuk Seri) Anwar Ibrahim (jadi Perdana Menteri), tetapi keputusan mahkamah supaya laporan siasatan itu didedah berlaku semasa Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri, masa Kerajaan Perpaduan.

"Jadi apabila Peguam Negara mengemukakan rayuan, mahkamah kemudian memutuskan penangguhan, saya sudah tentu akan meneliti perkara ini," katanya kepada pemberita selepas sesi penerangan projek bina baharu bengkel mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) Sekolah Kebangsaan Jabi di sini.
 
Saifuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Negeri Kedah mengulas laporan sebuah portal berita hari ini mengenai kenyataan aktivis yang mempersoalkan mengenai kehilangan Amri.
 
9 Mei lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan isteri Amri iaitu Norhayati Mohd Ariffin secara terhad dalam tempoh 30 hari.
 
Dalam permohonan itu, Norhayati menuntut antaranya satu pengisytiharan bahawa laporan yang disediakan pasukan petugas khas tidak termasuk dalam takrifan “rahsia rasmi” di bawah Seksyen 2 Akta Rahsia Rasmi (OSA).
 
Bagaimanapun pada 7 Jun lepas,  Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung perintah mahkamah supaya mengeluarkan laporan sulit pasukan petugas khas mengenai kehilangan Amri kepada Norhayati.

(Amri Che Mat)

Media Baharu