KUALA LUMPUR, 31 Mei- Pemberian baucar buku bernilai RM100 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis mendapat reaksi positif daripada pelbagai pihak.
Rata-rata menyambut baik insentif tersebut, selain dapat meningkatkan budaya membaca dalam kalangan generasi kini.
"Pemberian baucar buku ini amat bernilai dan bagus untuk kegunaan pelajar-pelajar terutama anak-anaklah. Saya boleh membeli buku-buku pembelajaran untuk meningkatkan lagi prestasi pembelajaran anak saya. Selain itu, dia boleh memupuk minat membaca," kata bapa kepada pelajar, Mohd Najib Mokri.
"Datang pesta buku memang bawa anak-anak, dari Sungai Petani pun saya bawa sekali. Sebenarnya, bila ada pemberian baucar buku itu, dia lagi seronok nak beli buku seolah-olah dapat secara percuma. Maka, dapat RM100 itu, membantu untuk beli banyak buku," kata bapa kepada pelajar, Shahid Wajidi Aziz.
Perasaan teruja turut dikongsi pelajar yang menerima baucar tersebut dan memberi kelonggaran untuk memilih pilihan buku kesukaan mereka.
"Seronoklah. Hari ini saya dapat beli buku yang saya suka contohnya buku novel. Buku untuk belajar pun ada juga, nak beli buku Sains dan Pendidikan Islam," kata Farhan Darhana.
"Saya nak ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana bagi baucar untuk saya membeli buku dan secara tidak langsung, mengurangkan beban mak ayah saya," kata Mohd Fitri.
Baucar tersebut boleh ditebus menerusi aplikasi 'Digital Educational Learning Initiative Malaysia' (DELIMa) yang boleh diakses oleh semua murid dan pelajar.
Penerima terlebih dahulu perlu mendaftar akaun di laman Kota Buku Digital sebelum membuat sebarang pembelian.