fb fb fb fb fb

Pembentangan pindaan Perlembagaan Berkenaan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti wajar dilaksanakan

KUALA LUMPUR, 27 Julai - Perdana Menteri membentangkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perlembagaan Pindaan Nombor 3, 2022 berkaitan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti.

Jelas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan memandang serius tindakan lompat parti yang menimbulkan banyak perdebatan dan polemik dalam kalangan masyarakat.

Ini kerana, ia melibatkan mandat dan kepercayaan rakyat terhadap wakil rakyat yang dipilih melalui proses pilihan raya.

Justeru, pindaan tersebut perlu dilakukan bagi mengelak negara terus berdepan krisis politik yang tiada berkesudahan.

 

 


(Ismail menjelaskannya ketika membentangkan

Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022
berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti di Dewan Rakyat/FOTO BERNAMA)

"Bagi membuktikan keseriusan kerajaan dalam perkara ini, jemaah menteri bersetuju untuk merealisasikan Pindaan Perlembagaan Berkenaan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti yang diketuai oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan UndangUndang).

"Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaankepada Yang Berhormat Santubong, kerana telah melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan cemerlang.

Sebanyak 12 sesi libat urus yang komprehensif dengan pihak-pihak berkepentingan telah diadakan seawal 23 November 2021 hingga 10 April 2022, melibatkan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara," kata Ismail di sini.

Tambah beliau, ini merupakan mesej jelas kepada wakil rakyat supaya berpegang kepada prinsip parti yang diwakili untuk melindungi mandat rakyat.

Katanya sokongan semua Ahli Parlimen kepada pindaan rang undang-undang itu amat penting memandangkan keperluan Fasal (3) Perkara 159 yang tertakluk kepada Fasal (4) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan tidak kurang dari dua pertiga atau 148 (jumlah minimum) daripada jumlah Ahli Majlis Parlimen.

"Besarlah harapan saya agar rang undang-undang ini dapat disokong dan diluluskan sebulat suara oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat dengan berteraskan semangat Keluarga Malaysia. Rang undang-undang ini merupakan satu sejarah besar negara kerana ia dihasilkan melalui perundingan dan perbincangan di antara kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan dan pembangkang.

"Semoga rang undang-undang ini berupaya melakar sejarah sepertimana Pindaan Perlembagaan Berkaitan Perjanjian Malaysia Tahun 1963 yang memperoleh sokongan penuh daripada semua Ahli-ahli Parlimen yang berjiwa besar," katanya lagi.

Media Baharu