fb fb fb fb fb

Pembeli sawit wajib keluar resit tahun depan - Johari

Johari Abdul Ghani/RTM

KUALA LUMPUR, 28 Disember- Semua peniaga dan orang tengah yang berurus niaga dengan pekebun kecil kelapa sawit diwajibkan mengeluarkan resit bagi setiap pembelian komoditi tersebut bermula Januari tahun depan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan bahawa kegagalan mematuhi peraturan itu boleh menyebabkan lesen peniaga tidak diperbaharui.

"Setiap kali membeli daripada pekebun kecil, pembeli mesti mengeluarkan resit yang mencatatkan jumlah berat, tan, dan kadar pengekstrakan minyak (OER) untuk disimpan pekebun kecil," katanya.

Beliau turut menekankan keperluan untuk memastikan ketepatan timbangan bagi mengelakkan sebarang aduan daripada pekebun kecil mengenai ketidakadilan.

"Kita mahu pastikan timbangan dibuat dengan telus supaya tiada isu penipuan timbul," tambahnya.

Johari menyampaikan kenyataan itu ketika ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-26 Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) di sini hari ini.

Dalam pada itu Malaysia juga perlu meningkatkan pengeluaran kelapa sawit bagi memperkukuhkan daya saing dalam pasaran global, selain memastikan kemampanan industri secara berterusan.

Johari berkata harga komoditi seperti kelapa sawit dan getah ditentukan oleh permintaan dan penawaran di pasaran antarabangsa.

"Apabila ada bekalan tetapi tiada permintaan, harga akan turun. Namun, jika permintaan melebihi bekalan, harga akan meningkat.

"Justeru, meningkatkan pengeluaran adalah kunci untuk menjadi lebih kompetitif di pasaran global," katanya.

Beliau turut menekankan pentingnya aspek kemampanan dalam pengeluaran sawit, sejajar dengan keperluan global terhadap produk yang lestari.

"Dunia kini menuntut produk yang sustainable (mampan) dan kita juga perlu mengambil kira isu-isu alam sekitar," jelasnya.

SITI AISHAH MD ISA