fb fb fb fb fb

Pembekuan sementara pekerja Indonesia ke Malaysia tidak jejas sektor pelancongan

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 14 Julai- Pembekuan sementara penghantaran pekerja dari Indonesia ke Malaysia tidak memberi kesan terhadap sektor pelancongan negara.

Jelas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, kerajaan akur dengan keputusan Indonesia namun pada masa sama mengharapkan pihak tertentu memberikan ruang kepada Kementerian Sumber Manusia untuk menangani perkara tersebut secara baik dengan Indonesia.

"Ia tidak ada kesan kepada sektor pelancongan cuma dari segi pekerja sahaja lah. Namun begitu, kita perlu melihat dari segi apa yang kita lakukan sehingga menyebabkan Indonesia berbuat demikian. Mungkin mereka hanya hentikan untuk sementara untuk susun atur apa yang perlu diperkemaskan," kata Datuk Seri Nancy kepada media selepas menghadiri Sidang Kemuncak Ekonomi & Perniagaan Wanita Sedunia 2022 di ibu negara.


(Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri ditemui pemberita selepas menghadiri Sidang
Kemuncak Ekonomi & Perniagaan Wanita Sedunia 2022 di ibu negara)

Semalam, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono memaklumkan Indonesia menghentikan sementara penghantaran pekerja ke Malaysia berikutan pelanggaran perjanjian pengambilan pekerja yang ditandatangani antara Indonesia dan Malaysia.

Dalam pada itu, berkenaan idea menyelaraskan kadar bilik hotel dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Nancy menyerahkan keputusan tersebut kepada penggiat industri perhotelan untuk membuat pertimbagan terperinci.

Namun beliau tidak menolak kemungkinan bahawa penyelarasan itu kelak mampu memberi kesan positif kepada sektor pelancongan negara.

"Kami MOTAC tidak campur tangan sebab ini ialah kebebasan ekonomi cuma saya nyatakan pada mereka kalau nak pun, ia kena bincang sedalam-dalamnya dari segi implikasi mungkin mereka melihat dari sudut implikasi positif sahaja tapi kita perlu melihat dari sudut jangka panjang. Kita serahkan kepada pemain industri kerana mereka lebih tahu," tambah Nancy.

 

Media Baharu