fb fb fb fb fb

KKM benarkan daftar produk cannabidiol (CBD) tertentu tahun depan

(Foto hiasan)

KUALA LUMPUR, 14 Julai- Kementerian Kesihatan (KKM) akan mula membenarkan pendaftaran produk cannabidiol (CBD) tertentu untuk tujuan rawatan perubatan bermula tahun hadapan.

Jelas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, rangka kerja bagi pendaftaran produk tersebut akan diumumkan tahun ini.

Justeru, beliau menjemput syarikat-syarikat farmasutikal untuk menghantar kertas kerja mengenai produk CBD tersebut untuk dinilai Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum boleh didaftarkan.

Langkah itu akan dilakukan secara berperingkat dan berhati-hati untuk menjamin keselamatan dan keberkesanannya untuk penyakit-penyakit tertentu.


(Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin)

"Buat masa ini,saya hanya melihat kepada CBD yang ditetapkan, bukan untuk kegunaan rawatan sendiri dan jauh sekali tidak ada penggunaan ganja secara rekreasi. Jadi ia terhad kepada produk-produk cannabidiol sahaja, itu langkah pertama.

"Untuk penggunaan produk-produk ini lebih baik kita ambil langkah yang berhati-hati dan melihat kepada amalan antarabangsa dan juga kepada data saintifik", katanya.

Beliau ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Laporan Kajian Persepsi Dadah oleh badan pemikir 'The Centre' di ibu negara.

CBD adalah antara kandungan aktif dalam pokok kanabis yang digunakan untuk tujuan perubatan.

Media Baharu