fb fb fb fb fb

Pembangunan Westports 2 perkasa ekonomi negara - PM

FOTO FACEBOOK Anwar Ibrahim

KLANG, 27 September- Pembangunan Westports 2 di Pelabuhan Klang, Selangor dijangka akan memperkukuh kedudukan ekonomi negara serta meningkatkan taraf hidup rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata projek terbabit merupakan salah satu inisiatif utama dalam memperkukuh industri logistik negara. Ia melibatkan kerjasama awam-swasta dengan pembesaran Terminal Kontena Westports daripada CT10 kepada CT17.

Beliau menekankan ekosistem dan prasarana pelabuhan perlu diperkemas untuk menarik pelaburan dan perdagangan yang lebih tinggi.

"Saudara perlu ingat, baik pelabuhan Westports Klang ini atau bidang lain yang saya sebutkan tadi, kita tidak bergerak secara terasing. Kita berdepan dengan rantau yang dinamik dan persaingan yang sangat hebat. Jika kita lembap dan menganggap kejayaan kecil itu membanggakan, kita akan ketinggalan.

"Kita berhadapan dengan pasaran yang sangat kompetitif; kita tidak boleh mengharapkan kejayaan tanpa melakukan reformasi serius dan memudahkan urusan perniagaan dengan lebih efisien," katanya dalam ucapan pada majlis pecah tanah Westports 2 di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Anwar memaklumkan bahawa Amazon Web Services (AWS) dijangka menyumbang sehingga RM57.3 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2032, lebih awal daripada sasaran asal 2038.

Beliau optimis memandangkan pencapaian syarikat penyedia platform pengkomputeran awan tersebut dalam pelaburan digital selama lapan tahun lalu.

"AWS telah menjadi rakan kongsi yang teguh dalam perjalanan transformasi digital negara. Pelancaran Wilayah AWS, dengan pelan pelaburan 15 tahun, menekankan komitmen jangka panjang AWS kepada Malaysia. Pelaburan RM29.2 bilion melalui projek Wilayah AWS (Malaysia) dijangka menyumbang lebih awal dan diharapkan lebih daripada RM57.3 bilion kepada KDNK Malaysia antara 2024 dan 2038," katanya.

>

SITI AISHAH MD ISA