fb fb fb fb fb

Anwar solat Jumaat di Pulau Indah

Datuk Seri Anwar Ibrahim

KLANG, 27 September- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,000 jemaah di Masjid Sultan Abdul Aziz Pulau Indah, Klang. 

Beliau tiba kira-kira pukul 1.13 tengah hari diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shaari.

Beliau turut mendengar khutbah bertajuk 'Kenapa GISBH Buat Begini Kepada Kanak-Kanak?' disampaikan oleh Pengurus merangkap Imam 1 Masjid Sultan Abdul Aziz Pulau Indah, Mohd Asyraf As'ad Zainuddin.

Antara pengisian khutbah yang disampaikan turut mengingatkan masyarakat bahawa kanak-kanak merupakan amanah Allah yang perlu dijaga dengan baik, bukannya dieksploitasi dengan aktiviti songsang dan tidak bermoral. 

Selesai solat, Perdana Menteri meluangkan masa beramah mesra bersama-sama jemaah serta kanak-kanak.

Anwar ketika berucap pada majlis ramah mesra itu berkongsi sebab utama beliau menjadikan rutin solat Jumaat dan makan di warung-warung bersama rakyat ialah untuk lebih mendekati dan memahami permasalahan dialami rakyat.

"Selalu setiap Jumaat saya makan di warung, ramai yang nak sambut saya di hotel yang besar, lima bintang tetapi saya memilih untuk ke warung supaya saya tahu masalah dia apa, sewa dia berapa, kemudahan macam mana kemudian kita cuba selesaikan," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI