fb fb fb fb fb

Pemerkasaan TVET, tingkat bilangan tenaga kerja mahir - TPM

Foto BERNAMA

KLUANG, 27 September- Ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diperkasa secara optimum.

Menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, usaha itu untuk memastikan bidang berkenaan terus mendapat permintaan tinggi.

Tambahnya, saranan tersebut disasar mampu merancakkan pasaran buruh selain, menyokong matlamat kerajaan dalam meningkatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

"TVET ada Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1-8. SKM 1 dan 2 sama tarafnya dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jadi, ada yang beri komen, kalau nak bekerja dengan kerajaan perlu ada SPM, adalah tidak betul."

"Ada bidang-bidang tertentu, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) terima, walau tiada SPM. Bagi SKM 3 hingga 5, setaraf dengan diploma. Mereka boleh menggunakan sijil kemahiran itu untuk masuk universiti pilihan," kata Zahid kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan 'Gegar Jejak Kerjaya' My Future Jobs orang Mahkota Bersama Hawa Malaysia.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Timbalan Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Abdul Rahman Mohamad serta Pengerusi HAWA, Tan Sri Shahrizat Abd Jalil.

Lebih 30 majikan menawarkan pelbagai peluang kerjaya, selain turut disediakan pelbagai reruai kerajaan seperti Jualan Rahmah serta khidmat padanan pekerjaan iaitu MYFutureJobs dan PERKESO.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid menyarankan supaya badan bukan kerajaan (NGO) boleh memainkan peranan dalam menganjurkan lebih banyak karnival kerjaya.

Langkah itu bagi meningkatkan peluang anak muda mendapat pekerjaan.

Justeru, NGO terlibat boleh menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), untuk merealisasikan hasrat itu.

"Kita lihat peluang pekerjaan masa hadapan, amat memerlukan pekerja-pekerja yang berketrampilan atau berkemahiran tinggi. Kita tidak mahu Malaysia dilambakkan dengan pekerja umum, kita mahu menjadi sebuah negara maju."

Tambahnya, kerjasama itu membolehkan padanan pekerjaan dapat dilakukan dengan mudah selain kemahiran golongan itu disalurkan kepada syarikat atau agensi yang tepat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM