fb fb fb fb fb

Pembangunan Sarawak keutamaan Kerajaan Persekutuan - PM

(FOTO IHSAN JPM)

KUCHING, 7 Ogos - Pembangunan negeri Sarawak sentiasa diutamakan oleh Kerajaan Persekutuan dan ia terbukti dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM4.55 bilion yang disediakan di bawah Rolling Plan Kedua tahun 2022, RMKe-12.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keutamaan itu selari dengan sasaran sifar miskin tegar pada akhir tahun 2025 melalui Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang turut melibatkan negeri ini.

Menurutnya, fasa pertama BMTKM di Bumi Kenyalang ini melibatkan empat lokaliti iaitu Gedong, Kampung Seberang Sebuyau, Kampung Spaoh dan Pakan.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Majlis Penutupan Program Jelajah Aspirasi
Keluarga Malaysia peringkat negeri Sarawak di Dataran Perayaan Petra Jaya, di Kuching / FOTO IHSAN JPM)

"Selain BMTKM, seramai 867,967 Keluarga Malaysia di Bumi Kenyalang telah menerima manfaat menerusi inisiatif Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM745 juta. Ini membuktikan kecaknaan Kerajaan terhadap Keluarga Malaysia di negeri ini," katanya ketika berucap di Majlis Penutupan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri Sarawak di Dataran Perayaan Petra Jaya, di sini.

Tambah Ismail, Projek Lebuh Raya Pan Borneo bernilai RM16.1 bilion yang dilancarkan pada bulan Mac 2015, kini berada pada tahap 85 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun depan.

Katanya, kerajaan juga akan meneruskan Fasa 2 Projek Sarawak Sabah Link Road (SSLR) yang akan menghubungkan Miri ke Limbang dan Lawas tanpa perlu melalui Brunei manakala Fasa 2 SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng di Lawas ini, akan menghubungkan Mulu hingga Long Merarap sejauh 326 kilomerer dengan kos RM7.68 bilion yang pembinaannya dijangka bermula awal tahun depan.

"Kerajaan turut menambah baik jaringan jalan raya sedia ada antara Miri ke Limbang dan Lawas melalui Brunei di bawah Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB), melibatkan kerja-kerja naik taraf sepanjang 96.351km bagi tempoh tiga tahun dengan kos berjumlah RM2.93 bilion.

"Ia bakal menjadi pemangkin pembangunan sosio ekonomi setempat kerana Lebuh Raya Pan Borneo mula memberi impak positif dan limpahan ekonomi kepada peniaga Pasar Tamu Simpang Bekenu," katanya.

Media Baharu