BAYAN LEPAS, 5 Mei- Pembangunan produk dan pakej pelancongan baharu termasuk pakej minat khas dari setiap negeri perlu bagi menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, setiap negeri dan semua pihak perlu memberikan komitmen dan kerjasama bagi menjayakan program ini yang merupakan misi nasional negara.
Beliau berkata strategi ini perlu bagi memperkenal dan mengalakkan pelancong untuk mengunjungi tempat pelancongan baharu, selain Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka.
"Jadi, kita perlu meningkatkan daya saing kita dengan menambah lebih banyak produk baharu serta memperkenalkan lokasi baharu. Pelancong luar negara sudah mengenali Kuala Lumpur, Melaka dan Pulau Pinang.
"Tetapi, setiap tahun mereka datang ke tempat yang sama dan untuk produk yang sama. Mereka mahukan lebih banyak pilihan, mereka mahu datang ke Malaysia, tetapi juga mahu melawat negeri dan tempat yang baharu. Itu maklum balas yang kami terima", katanya.
Selain itu, beliau juga berharap para penggiat industri pelancongan dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk memohon geran bagi penganjuran acara atau aktiviti promosi pelancongan.
Jelasnya, sebanyak RM130 juta telah diperuntukkan dalam bentuk geran sokongan untuk merangsang industri pelancongan seperti Geran Galakan Melancong (GAMELAN), Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP) dan Geran Sektor Penerbangan dan Charter (GSPC).
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sesi Libat Urus Tourism Malaysia Bersama Penggiat Industri Pelancongan di Bayan Lepas, Pulau Pinang.