PUTRAJAYA, 5 Mei - Dasar pemaparan harga ubatan di premis kesihatan swasta langkah ke hadapan dalam meningkatkan sistem kesihatan negara yang lebih telus, mesra rakyat dan bertanggungjawab, menurut Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
Presidennya Datuk Dr Adnan Mat berkata Cuepacs menyokong dasar yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu.
Beliau berkata langkah berkenaan hasil libat urus yang dijalankan secara menyeluruh oleh KKM bersama semua pihak berkepentingan, termasuk pengamal perubatan swasta daripada klinik dan hospital swasta lebih setahun yang lepas.
"Pendekatan ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan suara semua pihak diambil kira sebelum pelaksanaan dasar dibuat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Adnan berkata Cuepacs turut menyambut baik syor yang telah lama dikemukakan oleh pelbagai persatuan pengguna yang mahukan ketelusan harga ubat bagi membolehkan rakyat mengetahui dan membuat pilihan berdasarkan kemampuan masing-masing.
"Dalam keadaan kos perubatan semakin meningkat, langkah ini dilihat sebagai usaha ke arah memberikan akses rawatan lebih adil dan mampu milik kepada semua lapisan masyarakat," katanya.
Beliau berkata adalah penting untuk ditegaskan bahawa dasar ini bukanlah satu bentuk kawalan harga, sebaliknya inisiatif ke arah ketelusan maklumat dan hak pengguna untuk mengetahui harga ubat yang dijual.
"Ia juga membuka ruang kepada persaingan sihat dalam sektor kesihatan swasta yang pada akhirnya menguntungkan rakyat," katanya.
Adnan berkata Cuepacs turut menghargai pendekatan berhemah kerajaan yang memberikan tempoh tiga bulan kepada semua pihak yang terlibat untuk melaksanakan dasar berkenaan tanpa tindakan penguatkuasaan.
"Ini membuktikan bahawa kerajaan mengutamakan kerjasama, persediaan dan penyesuaian yang adil kepada semua penyedia perkhidmatan kesihatan swasta," katanya.-BERNAMA