fb fb fb fb fb

Mahasiswa tonggak pembentukan masyarakat MADANI

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 5 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa golongan muda memainkan peranan penting dalam pembentukan sebuah masyarakat yang adil dan saksama, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Menurut beliau, konsep MADANI bukan sekadar slogan, tetapi menekankan nilai, etika dan kemanusiaan yang perlu dihayati serta diamalkan oleh semua lapisan masyarakat, khususnya golongan mahasiswa sebagai pewaris kepimpinan negara.

“Dalam kerangka MADANI, kita berbicara tentang nilai, etika, dan kemanusiaan.

"Kita berbicara tentang peranan kita memastikan wujudnya sebuah masyarakat yang adil dan saksama. Peranan anak muda dalam hal ini bukanlah sesuatu yang baharu,” katanya ketika berucap dalam program Temu Anwar yang berlangsung di Management and Science University (MSU), disini.

Program berkenaan menghimpunkan lebih 4,000 mahasiswa dari 30 Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) di sekitar Lembah Klang.

Program tersebut merupakan platform untuk mahasiswa IPTS berkongsi pandangan serta menyuarakan isu berkaitan pendidikan dan masa depan negara bersama kepimpinan tertinggi negara.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim, serta Presiden dan Pengasas MSU, Tan Sri Datuk Wira Prof. Dr. Mohd Shukri Ab Yajid.

Program tersebut merupakan kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Majlis Hal Ehwal Pelajar IPTS, Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan Anwar Ibrahim Club.

Sementara itu, Perdana Menteri menggesa agar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) supaya segera menyelaraskan program pengajian berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI) di semua universiti dalam negara, termasuk institusi awam dan swasta.

Tegasnya, penguasaan dalam bidang AI kini berada pada tahap yang membimbangkan dan negara turut berdepan dengan kekurangan puluhan ribu jurutera mahir, khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi tinggi.

"Saya percaya AI penting dan bidang ini perlu diberikan keutamaan. Saya ada minta, umpamanya, KPT untuk menyelaraskan kegiatan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa pengembangan bidang AI dan penyelidikan teknologi tidak harus terikat kepada universiti awam semata-mata, sebaliknya perlu membuka ruang kerjasama dengan institusi swasta yang mempunyai keupayaan dan kepakaran tersendiri.

“Kalau untuk pendidikan dan kajian, ia tidak terikat untuk universiti awam. Sebaliknya, jika ada keupayaan istimewa, sama ada swasta atau awam, kerjasama itu harus dirangkul dalam satu kekuatan,” tambah beliau.

Beliau turut menekankan pentingnya penyatuan kepakaran dan usaha antara sektor awam dan swasta bagi mempercepatkan penguasaan teknologi AI dalam kalangan generasi muda, sekali gus memacu pembangunan negara dalam era digital.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD