
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Pembangunan setiap negeri akan dipacu mengikut kekuatan dan keperluan masing-masing bagi merapatkan jurang kemajuan tanpa menggunakan pendekatan sama rata secara mutlak.
- Pulau Pinang dipetakan sebagai pusat kewangan teknologi dengan Dana Pelaburan Strategik RM100 juta untuk syarikat semikonduktor dan pembuatan termaju.
- Johor laksana Sistem Transit e-ART, tambah laluan dan kekerapan pengangkutan awam serta sediakan Grab Shuttle untuk tangani kesesakan.
- Perak dipacu sebagai hab maritim LuMIC dan Automotive Hi-Tech Valley, dengan potongan cukai sehingga RM5 juta bagi kos penempatan semula.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu membolehkan negeri yang telah maju terus mencipta lonjakan, negeri sedang berkembang mempercepat kemajuan, manakala wilayah yang masih tertinggal diberi kekuatan untuk merapatkan jurang.
“Bukan semua menerima perkara yang sama, tetapi setiap negeri menerima apa yang munasabah dan wajar untuk memungkinkan rakyatnya ikut maju,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan atau Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Datuk Seri Anwar lagi, konsep keserataan itu diterjemahkan menerusi pembangunan dan peruntukan yang disesuaikan dengan keadaan serta keperluan setiap negeri.
Jelas beliau, Pulau Pinang akan dipeta sebagai pusat kewangan teknologi negara, dengan Khazanah Nasional Berhad dan InvestPenang mewujudkan Dana Pelaburan Strategik bernilai RM100 juta bagi membantu syarikat semikonduktor dan pembuatan termaju pada peringkat awal pertumbuhan.
Di Johor Bahru pula, kerajaan bersetuju melaksanakan Sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (e-ART) sebagai penyelesaian utama kepada kesesakan lalu lintas.
Menjelang pembukaan RTS Link, laluan dan kekerapan bas henti-henti akan ditambah, selain meningkatkan kekerapan KTM Komuter serta menyediakan perkhidmatan Grab Shuttle di kawasan tumpuan.
“Perak pula akan dipacu sebagai hab industri menerusi pembangunan Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) sebagai hab maritim, manakala Automotive Hi-Tech Valley di Tanjong Malim akan diperkukuh sebagai hab automotif serantau.
“Bagi menggalakkan syarikat vendor automotif milik tempatan sepenuhnya memindahkan operasi ke kawasan itu, potongan cukai sehingga RM5 juta akan diberikan ke atas kos penempatan semula yang layak bagi perbelanjaan dari 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030,” katanya.
Di Melaka, tumpuan diberikan kepada pelaburan dan pembangunan bakat melalui Melaka Centre of Excellence yang menawarkan latihan TVET berteknologi tinggi, selain pelaksanaan Projek Pemulihan Sungai dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Rambai bagi mengurangkan risiko banjir.
Malaysia Vision Valley 2.0 pula akan terus memangkin ekonomi Negeri Sembilan menerusi pembangunan prasarana termasuk jalan baharu dari KLIA ke Bandar Enstek, naik taraf Jalan Pajam-Nilai-Salak serta pelaksanaan Projek Klang Valley Dual Track 2.
Di Pahang, pembangunan di sepanjang jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan diperkukuh meliputi industri berat di Bentong dan perumahan rakyat berhampiran stesen KotaSAS.
“Perlis pula akan menerima pembangunan infrastruktur di Kawasan Pembangunan Lembah Chuping serta NCER Agribio Economic Zone, manakala Pelabuhan Darat Perlis akan dilengkapi mesin pengimbas bagi melancarkan perdagangan dan memperkukuh keselamatan sempadan,” jelasnya.
Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memaklumkan, Kulim Hi-Tech Park di Kedah akan terus menarik pelaburan semikonduktor dunia yang membuka peluang pekerjaan mahir dan perniagaan, manakala Projek Tanaman Padi Lima Musim Dalam Dua Tahun di kawasan MADA terus diberi keutamaan bagi meningkatkan hasil serta pendapatan pesawah.
Terengganu pula terus dipacu sebagai tumpuan ekopelancongan menerusi naik taraf produk utama seperti Setiu Wetlands, Tasik Kenyir, Pulau Tenggol dan Pulau Bidong.
Pada masa sama, kesejahteraan rakyat di negeri itu akan diperkukuh menerusi pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembetungan di bandar Kuala Terengganu.