
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Malaysia akan terus mempermudah urusan perniagaan bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada syarikat global untuk beroperasi di negara ini, sekali gus menarik bakat mahir terbaik.
- Insentif cukai GSH diperbaiki mulai 1 Januari 2027 dengan kadar istimewa lima peratus bagi syarikat baharu.
- Untuk Hab Prinsipal atau GSH sedia ada, kadar lima peratus dikenakan atas pendapatan melebihi asas dan tempoh galakan dilanjut setiap lima tahun hingga 30 tahun.
- Pasangan pemegang Pas Penggajian Kategori I dengan Pas Tanggungan dibenarkan bekerja di Malaysia mulai 1 Januari 2027 tertakluk syarat.
- Pemegang Pas Nomad DE Rantau yang telah capai had dua tahun diberikan tambahan dua tahun untuk terus tinggal dan bekerja secara remote.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara inisiatif yang bakal dilaksanakan ialah menambah baik galakan cukai Hab Perkhidmatan Global (GSH) mulai 1 Januari 2027.
“Antaranya, memberikan kadar cukai istimewa lima peratus ke atas pendapatan daripada aktiviti GSH bagi syarikat baharu.
“Kadar cukai istimewa lima peratus ke atas pendapatan melebihi pendapatan asas ditetapkan bagi syarikat Hab Prinsipal atau GSH sedia ada, dengan tempoh galakan GSH dilanjutkan setiap lima tahun hingga maksimum 30 tahun,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pemegang Pas Nomad DE Rantau sedia ada yang telah mencapai had dua tahun akan diberikan dua tahun tambahan untuk terus tinggal dan bekerja secara remote di Malaysia, tertakluk syarat ditetapkan.
Mulai 1 Januari 2027 juga, pasangan kepada ekspatriat pemegang Pas Penggajian Kategori I dengan Pas Tanggungan akan dibenarkan untuk bekerja di Malaysia tertakluk kepada syarat ditetapkan.
“Ini bagi memastikan Malaysia kekal dipilih sebagai destinasi bakat terbaik tanpa pasangan mereka perlu untuk mengorbankan kerjaya,” katanya.
Selain itu, Suruhanjaya Sekuriti dengan kerjasama TalentCorp akan memudah cara urusan awal permohonan Pas Pekerjaan syarikat MyABE tersenarai dengan sasaran lima hari bekerja.
Pada masa sama, Elaun Pelaburan Semula sedang dikaji semula, termasuk meneliti syarat kelayakan dan cara insentif diberikan supaya lebih bersasar serta meningkatkan daya saing industri.
“Suruhanjaya Sekuriti dan pengawal selia Hong Kong pula memeterai kerjasama bagi memudahkan syarikat Malaysia menyenaraikan saham di kedua-dua pasaran. Geran padanan disediakan bagi menampung kos penyenaraian,” katanya.