fb fb fb fb fb

Pembangunan fizikal, komuniti di Wilayah Persekutuan perlu seimbang

Foto FB Dr Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR, 13 Julai - Pembangunan fizikal dan komuniti di Wilayah Persekutuan perlu diseimbangkan bagi mewujudkan masyarakat sihat dan bersatu di wilayah itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata bagi tujuan itu, penganjuran program seperti Kejohanan Bola Jaring Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2025, amat bersesuaian kerana boleh memupuk gaya hidup aktif, memperkukuh jaringan sosial serta menyemarakkan perpaduan.

“Berkesempatan menyempurnakan Kejohanan Bola Jaring Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2025 pagi ini di IWK Eco Park, Bangsar. Edisi pertama itu bermula cukup baik dan penuh semangat kesukanan.

“Bakat-bakat muda yang menyerlah seperti peserta program ini wajar diberi sokongan. Saya minta Majlis Sukan Wilayah Persekutuan untuk mengenal pasti potensi mereka dan membuka ruang sebaiknya kepada mereka,” katanya dalam hantaran laman X hari ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan kejohanan sulung itu dan berharap ia dapat menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh warga Wilayah Persekutuan. -BERNAMA

MASNIZA AWANG KECHIK