KOTA KINABALU, 13 Julai - Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan bersidang esok di Kota Kinabalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.
"Kita ada program, satu mesyuarat untuk komiti teknikal bagi MA63 dengan spesifik untuk Sabah. Kemudian kita ada program di Skuad PETRA", katanya.
Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu.
Kunjungan tersebut bagi berkongsi perancangan PETRA untuk Sabah khususnya dalam sektor tenaga dan air.
Sementara itu, Datuk Seri Fadillah menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan kunjungan itu adalah yang pertama kali selepas Tun Musa Aman dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri Sabah ke 11 pada 1 Januari 2025.
"Kunjungan ini adalah sebagai tanda hormat kerana saya belum berpeluang mengadakan kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Tun sekali gus memberi penerangan mengenai perancangan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam membantu negeri Sabah melibatkan sektor tenaga dan air.
"Tuan Yang Terutama Tun turut meminta saya berbincang lebih mendalam dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor bagi mencari ruang dalam membangunkan negeri Di Bawah Bayu ini sekali gus membolehkan rakyat Sabah menerima manfaat dan membantu pembangunan negeri ini", katanya menerusi Facebook.