fb fb fb fb fb

Kerja baik pulih Jalan Mengabang Telipot-Batu Rakit siap awal Oktober

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi melihat pelan kerja pembaikan runtuhan jalan dan tebing di Jalan Mengabang Telipot-Batu Rakit/ Foto BERNAMA

KUALA NERUS, 13 Julai - Jalan Mengabang Telipot-Batu Rakit berhampiran Kampung Tanjung yang terputus akibat hakisan selepas dibadai ombak semasa Monsun Timur Laut (MTL)
dijangka dapat dilalui semula pada awal Oktober.

Jaminan itu diberikan oleh Kementerian Kerja Raya, mengambil kira kerja baik pulih laluan sepanjang 280 meter itu yang berjalan lancar.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek membaiki runtuhan jalan dan tebing yang menelan belanja RM4.95 juta itu juga telah mencapai kemajuan fizikal 45.37 peratus - lebih awal daripada jadual asal.

Beliau berharap kontraktor yang dilantik berjaya menyiapkannya mengikut jadual.

"Kita harap begitulah kalau kita tengok teknologi yang digunakan yang dipanggil konkrit penahan secara modular terbukti dapat menahan. Kajian telah dilakukan terlebih dahulu dengan mengambil kira semua faktor, termasuk keadaan ombak dan reka bentuk jalan," katanya selepas meninjau perkembangan projek tersebut di Kampung Tanjung di sini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu, Ir. Dr. Hasli Ibrahim.

Jalan berkenaan tidak dapat dilalui sejak tahun lalu, menyebabkan ratusan peniaga hilang mata pencarian memandangkan lokasi yang dihubungkan oleh jalan itu merupakan lokasi tumpuan setiap hujung minggu.

MASNIZA AWANG KECHIK