KUALA LUMPUR, 13 Julai - Polis mengesahkan siasatan sedang dijalankan berhubung dakwaan kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang tular di media sosial, selepas satu laporan polis dibuat berhubung perkara tersebut.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan itu dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terklasifikasi (Classified Crimes Investigation Unit) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Beliau berkata tumpuan siasatan adalah terhadap pendedahan dan penyebaran maklumat tersebut secara dalaman dan di media sosial. Semua saksi yang kompeten akan dipanggil untuk membantu siasatan.
"Kes tersebut diklasfikasikan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998", katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mendedahkan sebarang dokumen atau maklumat sulit kerana mereka yang terlibat akan berdepan dengan tindakan tegas.
Terdahulu, satu laporan polis telah dibuat berhubung kebocoran dokumen didakwa minit mesyuarat JAC.
Sebelum ini tular di media sosial petikan minit mesyuarat JAC yang didakwa berlangsung pada Mei lepas tersebar sejak semalam.