PUTRAJAYA, 17 Januari- Tanggungjawab pembangunan bola sepak negara harus dijadikan sebagai agenda nasional, tidak hanya dipikul Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semata-mata.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dengan kerjasama kementerian berkaitan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta boleh menyumbang dari segi sokongan material dan fizikal.
"Sebagai balasan dengan bantuan modal insan yang ada dalam FAM, badan induk sukan bola sepak negara ini boleh menjamin pulangan atas pelaburan (ROI) bagi memenuhi tuntutan penaja, kata Perdana Menteri semasa berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat Baharu FAM di sini.
Beliau berharap projek pembinaan ibu pejabat FAM itu dapat dilaksanakan dengan jayanya agar menjadi sumber kekuatan kepada tadbir urus FAM dalam membentuk pasukan kebangsaan yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa, serta mampu membangunkan modal insan yang mahir dari segi teknikal, pengurusan, kepengadilan dan kejurulatihan.
Sejajar dengan pembangunan tersebut, sebagai penyokong Harimau Malaya yang mewakili seluruh Keluarga Malaysia, Ismail juga berharap FAM akan menitikberatkan kecemerlangan serta persediaan yang lebih baik dan rapi sebelum perlawanan agar kita tidak mudah kecundang.