SUNGAI PETANI, 17 Jun-Keengganan ahli Parlimen pembangkang mengadakan perbincangan dan rundingan bersama kerajaan mengenai peruntukkan kepada ahli parlimen pembangkang menyebabkan pemberian peruntukkan tersebut tidak dapat diberikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau telah mengarahkan agar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bagi berbincang dan berunding dengan ahli parlimen pembangkang berhubung perkara tersebut.
"Saya bagitau TPM, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk pelawa dan bincang dengan Ahli Parlimen pembangkang.
"Hal belanjawan kita runding bersama, mesti dipersetujui.Itu hal-hal yang kita telah sepakati.
"Tapi belum ada rundingan. Oleh yang demikian, tidak ada kelulusan", katanya semasa merasmikan Penutup Konvensyen Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat: ‘Pembangunan MADANI, Rakyat Disantuni’ di Dewan Perdana, UiTM Cawangan Kedah.
Konvensyen anjuran Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) itu diadakan selama dua hari berakhir hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Dalam perkara sama, Datuk Seri Anwar turut menyelar pembangkang yang menuduh kerajaan zalim kerana tidak meluluskan peruntukkan bagi pelaksanaan projek di kawasan yang diwakili.
"Dalam politik ini guna agama, dia putuskan hukum. Kamu tak bagi kedudukan, kamu zalim. Jadi kamu 30 tahun kamu tak bagi peruntukan, zalim atau tidak", katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pihaknya tidak pernah membelakangkan projek di kawasan pembangkang kerana mahu memastikan semua projek untuk rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)