fb fb fb fb fb

Pembabitan unit beruniform di IPT penting, tingkat kualiti diri mahasiswa

Foto RTM

KUALA NERUS, 17 Mei- Penglibatan mahasiswa dalam unit beruniform di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berperanan penting dalam meningkatkan kualiti diri mereka bagi menghadapi dunia pekerjaan sebenar selepas tamat pengajian.

Profesor Adjung Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata mahasiswa yang berkualiti tinggi merupakan aset berharga kepada negara.

Menurut beliau, pendidikan luar bilik kuliah berupaya membentuk sahsiah dan disiplin diri mahasiswa melalui penglibatan aktif dalam aktiviti badan beruniform.

Tambahnya lagi, latihan fizikal dan mental yang diterapkan dalam aktiviti unit beruniform mampu melahirkan individu yang lebih bertanggungjawab, berdisiplin serta berdaya tahan, sekali gus membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan cabaran dunia pekerjaan.

"Jangan fikir tentang kredit semata-mata. Untuk kesinambungan dan memudahkan laluan kerjaya, bidang tersebut perlu diambil secara mendalam," katanya.

Katanya pada program Bersama Membina UMT: Spektrum Peranan dan Tanggungjawab Pasukan Badan Beruniform di UMT di sini.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof Ts. Dr Mohd zamri Ibrahim berkata penglibatan aktif dalam kokurikulum juga perlu diseimbangkan dengan kecemerlangan akademik bagi melahirkan kualiti mahasiswa yang terbaik.

"Saya nak pastikan mereka cemerlang dalam akademik juga. Mereka perlu menjadi ikon kepada pelajar lain. Tidak boleh ada kekurangan daripada aspek akademik mahupun aspek lain.

"Mereka perlu menjadi pelajar contoh dan apabila tamat pengajian nanti, perlu membawa karakter yang mereka dapat sepanjang berada di universiti," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM