fb fb fb fb fb

Ada usahawan NADI raih pendapatan lebih tinggi daripada Ahli Parlimen

Ada usahawan wanita luar bandar NADI raih pendapatan lebih tinggi daripada Ahli Parlimen. Foto fail Bernama

CYBERJAYA, 17 Mei 2025 –Program NADIpreneur , inisiatif di bawah NADI terus membuahkan hasil memberangsangkan apabila ribuan usahawan luar bandar yang dibimbing di bawah inisiatif tersebut berjaya menjana pendapatan lumayan hasil penggunaan teknologi dan internet berkelajuan tinggi.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata sejak penubuhannya pada 1999, 85 peratus daripada hampir 4,000 usahawan berkenaan merupakan wanita dengan sebahagian besar berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

“Mereka bukan sahaja mempertingkatkan kemahiran dalam bidang perniagaan digital, malah berjaya memasarkan produk ke peringkat luar negara. Saya diberitahu, ada antara mereka memperoleh pendapatan yang jauh lebih tinggi daripada Ahli Parlimen,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2025 di sini, hari ini.

Selain itu, antara kisah kejayaan yang diketengahkan termasuk seorang usahawan wanita di Bau, Sarawak, yang bersama jiran-jirannya mampu menjana pendapatan lebih RM35,000 sebulan hasil perniagaan berasaskan teknologi.

Datuk Fahmi Fadzil turut berkongsi kejayaan seorang usahawan wanita di Morib, Selangor yang menjalankan perniagaan roti secara digital dengan pendapatan mencecah RM40,000 sebulan.

Tambah Datuk Fahmi Fadzil, kejayaan ini menjadi bukti bahawa akses kepada internet berkualiti mampu mengubah landskap ekonomi isi rumah, khususnya di kawasan luar bandar.

Pada tahun ini, Kementerian Komunikasi sasar penyertaan 7,000 peserta program NADIpreneur, khususnya dalam kalangan wanita.

“Justeru tahun ini, kementerian memberi tumpuan untuk melibatkan lebih ramai usahawan, khususnya dalam kalangan wanita, menerusi latihan kemahiran digital di NADI. Ia bukan sahaja menjana pendapatan tambahan, malah meningkatkan kualiti hidup keluarga mereka,” ujar beliau. 

 

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN