LABUAN, 17 Mei – Golongan belia digesa untuk terus memperkukuh keyakinan diri dalam mendepani cabaran masa hadapan dan berperanan aktif menyumbang kepada pembangunan negara melalui idea, tenaga dan masa.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib berkata, semangat tersebut dizahirkan melalui tema sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2025, Yakin Boleh, yang mencerminkan keyakinan tinggi kerajaan terhadap kemampuan dan potensi belia.
"Perkara ini adalah satu tindakan untuk memperkasa golongan belia agar bersesuaian dengan perubahan dan perkembangan semasa di arena antarabangsa.
"Selain itu juga, ia dapat mempercepat kematangan belia dalam institusi sosial, sekali gus melahirkan lebih ramai pemimpin muda sebagai kesinambungan kepimpinan negara pada masa depan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Hari Belia Negara (HBN) 2025 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan, di sini hari ini.
Lebih 5,000 orang hadir memeriahkan program itu yang turut menjadi simbol kebersamaan antara kerajaan dan generasi muda, serta memperkukuh pembangunan belia secara holistik.
Dalam majlis sama, Kelab Belia Kampung Bebuloh (BAMBU) diumumkan sebagai johan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2025 peringkat Labuan bagi kategori pertubuhan belia.
Kelab itu membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, piala iringan dan sijil.
Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Kelab Belia Kampung Lubok Temiang (KBLT) dan Persatuan Gabungan Belia dan Beliawanis Kg. Pohon Batu (GABPOBA) menerima wang tunai RM5,000 dan RM3,000 berserta piala dan sijil.
Bagi kategori individu, Tan Chee Haw dan Susi Ramilyana Maideen masing-masing dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Belia Negara lelaki dan wanita, dengan hadiah wang tunai RM3,000, piala dan sijil.
Program anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan serta Majlis Belia Labuan itu turut mendapat kerjasama strategik daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, dengan lebih 20 aktiviti dianjurkan sepanjang sambutan.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Dr. Vellapandian Ponnusamy; Pengarah JBS Labuan, Mahanum Fauzi dan Presiden Majlis Belia Labuan, Nazera Roslan.