PERAI, 17 Mei - Seramai 60 belia kaum India berusia 20 tahun dan ke atas dari zon utara Perai, Pulau Pinang didedahkan dengan ilmu pelaburan awam menerusi Program Malaysian Indian Investment Program (MIIP) anjuran Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA P. Prabakaran berkata, program dua hari itu bermatlamat membina literasi kewangan dan memperkasa kemahiran pelaburan selain melahirkan lebih ramai belia kaum India menceburi bidang pelaburan dan pasaran saham.
"Pelaburan dalam masyarakat India lebih kurang dalam 3 peratus sahaja, oleh sebab itu kita telah mencapai penyelesaian bersama Bursa Malaysia Berhad untuk menaikkan statistik tersebut.
"Kebanyakan masyarakat India beranggapan pelaburan dalam pasaran sahan ada banyak scam (penipuan), oleh sebab itu mereka tidak ada kepercayaan dalam bidang tersebut," katanya yang ditemui selepas selesai program Latihan Pelaburan Berstruktur MITRA-Bursa Malaysia hari ini.
Tambahnya, sebanyak RM3 juta diperuntukkan bagi program berkenaan dengan kerjasama Bursa Malaysia Berhad.
Dengan bimbingan daripada pakar pelaburan, masyarakat belia India didedahkan dengan mekanisma pasaran saham selain mendapat bimbingan dan latihan menyeluruh serta mengenal pasti produk pelaburan bersesuaian .