fb fb fb fb fb

Pemasangan sistem digital di hospital dan klinik kerajaan ditambah

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni

KUALA LUMPUR, 14 November - Kementerian Kesihatan akan menambah jumlah pemasangan sistem digital di hospital dan klinik kerajaan tahun depan, menjadikannya antara langkah digitalisasi sistem kesihatan Malaysia menjelang 2030, kata Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni.

"Ada projek sedang dimulakan. Contohnya di Negeri Sembilan kita mulakan program digital secara projek rintis di hospital dan klinik kerajaan, ada aplikasi kita kena kenal pasti, kita memperkenalkan Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di hospital kerajaan supaya setiap rekod dapat berhubung. Contoh kalau kita sakit di Miri, rekod boleh bawa ke Serdang," katanya menjawab soalan tambahan Gopeng, Tan Kar Hing di Dewan Rakyat.

Hospital kerajaan dan klinik kesihatan di Negeri Sembilan menjadi perintis kepada projek bebas kertas, dilaksanakan KKM dengan mengaplikasikan penggunaan sistem simpanan rekod perubatan kesihatan secara elektronik.

Dalam perkembangan lain, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan kerajaan belum bercadang untuk mengawal selia tambang e-hailing buat masa ini.

Ini memandangkan penentuan harga lantai tambang e-hailing adalah kompleks serta perlu diimbangi antara pemandu dan pengguna serta fleksibiliti harga tambang yang ditentukan mengikut padanan faktor semasa.

Beliau berkata, sekiranya harga lantai ditetapkan harga tambang kepada pengguna juga dijangka meningkat dengan mengambilkira faktor pemboleh ubah seperti kesesakan trafik, cuaca, jarak, masa, jumlah permintaan dan jumlah penawaran yang menentukan padanan tempahan dengan penawaran secara langsung.

Bagaimanapun, perbincangan telah diadakan antara Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dengan pemain utama industri e-hailing bagi mendapatkan maklum balas berhubung perkara itu.

"Dan maklumbalas diterima adalah, satu syarikat memberi galakan kepada rakan pemandu untuk beroperasi di kawasan tumpuan melalui insentif yang ditawarkan syarikat masing-masing bagi memenuhi permintaan semasa, kedua sebagai contoh salah satu syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing membuat penawaran insentif secara seminggu lebih awal kepada pemandu melalui notifikasi aplikasi pemandu. Tawaran insentif yang diumumkan boleh membantu rakan pemandu merancang waktu operasi yang sesuai dan jumlah pendapatan yang disasarkan," kata Anthony dalam sesi soal jawab, di Dewan Rakyat.

TETITIA YUSOFF