fb fb fb fb fb

Digitalisasi: KUSKOP laksana beberapa inisiatif perkasa PMKS

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick/FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 14 November- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah melaksanakan beberapa inisiatif dalam usaha mendigitalisasikan usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS)..

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, ia termasuk  membangunkan Platform MyMall yang menyediakan ruang pemasaran dalam talian secara percuma bagi produk atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh PMKS.

Menurut Ewon, sehingga kini jumlah berdaftar dengan platform ini  adalah seramai 1,277 dan menjana jualan sebanyak RM2.77 juta.

Jelas Ewon, Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT) melalui TEKUN Nasional  turut memanfaatkan 779 usahawan.

"Memperkenalkan Skim SME Technology Transformation Fund (STTF) melalui SME Bank yang menyediakan pembiayaan kepada PMKS untuk meningkatkan penggunaan digital dalam operasi perniagaan.

"Setakat hari ini sebanyak 261 syarikat telah menerima manfaat daripada skim ini melibatkan pembiayaan sebanyak RM301.15 juta. Keempat melaksanakan Program Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil bertujuan memberi pendedahan dan meningkatkan pengetahuan mengenai pendigitalan perniagaan kepada penjaja dan peniaga kecil", kata Ewon ketika menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Ramanan Ramakrishnan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD