PUTRAJAYA, 19 Ogos - Orang ramai dinasihatkan berhati-hati ketika memasang Jalur Gemilang, khususnya pada kenderaan masing-masing, bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, selain menzahirkan rasa hormat terhadap Jalur Gemilang, aspek keselamatan juga perlu diberi perhatian.
"Ketika kita meletakkan (memasang) atau mengibarkan Jalur Gemilang khususnya di kenderaan, kena berhati-hati sebab kita ada peraturan cara bagaimana kita nak meletakkan Jalur Gemilang kita dan kemudian kena berhati-hati khususnya apabila diletak Jalur Gemilang di kenderaan kena (pastikan) kukuh.
"Satu yang paling penting bukan sahaja sudut kehormatan Jalur Gemilang itu, tetapi juga dari sudut keselamatan awam. Kita bimbang kalau Jalur Gemilang bertebaran ia boleh terkena kenderaan dan menutup pandangan dan sebagainya," jelasnya.
Beliau mengulas mengenai insiden Jalur Gemilang dilaporkan bertebaran di Lebuh Raya Maju pagi tadi.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai memastikan Jalur Gemilang cukup sifat sebelum dibeli atau dipasang.
"Semalam juga saya ada sebut dalam parlimen mengenai akta terkait dengan pemasangan bendera ini. Kena ambil sikap lebih berhati-hati. kadang-kadang orang terlepas pandang mungkin, atau pembuat bendera itu sendiri tak tahu secara tepat jumlah jalur, bentuk bintang dan sebagainya.
"Setiap lambang dalam jalur gemilang itu membawa makna tersendiri. jadi kita kena jagalah," ujarnya.
Datuk Seri Dr. Zaliha berkata demikian pada Majlis Penyerahan dan Pemasangan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Menara Seri Wilayah Persekutuan, di sini.