KUALA LUMPUR, 19 Ogos - Usahawan mikro di negara ini perlu diberi pendidikan secara holistik selain perlu melakukan inovasi ke atas produk bagi memastikan kelangsungan perniagaan serta mengurangkan kebergantungan kepada produk import, khususnya dari luar negara.
Menurut Pensyarah Keusahawanan Insitut Kemahiran Mara (IKM) Kuala Lumpur Muhammad Syukran Jamil, pendekatan itu dilihat mampu memperkasa ekonomi domestik selain mengukuhkan identiti dan warisan melalui produk-produk buatan tempatan.
"Namun, kaedah yang diamalkan oleh usahawan mikro sendiri juga penting, khususnya dalam membuat pilihan. Sebab itu aspek pendidikan dan penghasilan produk sendiri perlu diberi penekanan.
"Misalnya, usahawan makanan di platform media sosial perlu digalakkan berinovasi dengan menghasilkan produk serta jenama sendiri. Langkah ini mampu mengurangkan kebergantungan kepada barangan import, khususnya dari China, kerana kita juga mempunyai produk tempatan yang boleh diketengahkan, termasuk hasil kraf tangan.
"Justeru, penyusunan dan penstrukturan program sokongan kepada usahawan mikro amat penting bagi memastikan mereka berdaya saing," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam Program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media.
Menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 atau RMK13, kerajaan disaran memberi tumpuan menyeluruh terhadap pembangunan sektor mikro.
Ia meliputi latihan, modal dan program-program keusahawanan dilihat sebagai langkah penting dalam melahirkan lebih ramai usahawan mikro yang berdaya saing.