GEORGE TOWN, 19 Ogos - ASEAN perlu memperkukuh solidariti dalam berdepan cabaran maritim, khususnya dari aspek keselamatan kawasan perairan dan tuntutan pertindihan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, adalah menjadi satu kewajaran semua tentera laut di bawah panji ASEAN, menjadi benteng utama dengan bekerjasama menjamin kestabilan zon maritim serantau.
"Sememangnya wajar untuk mereka bekerjasama, mengenali dan berkongsi cabaran-cabaran yang sedia ada. Jadi mesyuarat seumpama ini adalah sesuatu yang sangat disokong, supaya ia dapat mencapai matlamat.
"Seperti yang saya maklumkan, ia bertujuan memastikan kawasan maritim di ASEAN ini dapat dikawal dan dijaga dengan baik," katanya kepada media.
Beliau memberitahu demikian selepas merasmikan Mesyuarat Panglima-Panglima Tentera Laut Asean ke-19 (ANCM) di sini.
Turut hadir pada majlis itu, ialah Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain.
Mesyuarat ini memperlihatkan kehadiran Panglima Tentera Laut Asean untuk memperhalusi isu kepentingan bersama anggota ASEAN bagi manfaat jangka masa panjang.