fb fb fb fb fb

Ketelusan proses perolehan aset, sistem pertahanan negara diperkasa & dipantau

Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 19 Ogos - Ketelusan proses perolehan aset dan sistem pertahanan negara terus diperkasa dan dipantau selain memastikan nilai perbelanjaan bagi tujuan tersebut berupaya mencerminkan tahap kekuatan pertahanan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan ia termasuk memastikan proses perolehan dilaksana menerusi pendekatan kerajaan kepada kerajaan (G2G); tanpa melibatkan agen.

"Harus ada proses telus, tender yang terbuka dan satu keadaan kita runding terus kerajaan dengan kerajaan, dengan Korea Selatan, Turkiye. Dengan ini mengurangkan komisyen syarikat agen yang terlalu ramai dan kita berhasil.

"Saya sebut Turkiye kerajaan dgn kerajaan, bila kita bincang terus dengan kerajaan kos terus berkurang kerana kos agen itu dihentikan. Sebab itu proses pun sampai, dulu kalau order mesti sangkut. Sekarang pesawat dron dari Turkiye dijangka tiba pada Disember," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang meminta Perdana Menteri menyatakan tahap kesiapsiagaan pertahanan negara dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik dunia dan serantau.

Datuk Seri Anwar berpandangan pendekatan G2G itu juga sebahagian usaha memerangi gejala rasuah dalam sistem perolehan sekali gus, meminimumkan risiko pengambilan komisen, ketirisan dan kelewatan perolehan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI