fb fb fb fb fb

RM98.9 juta dibelanjakan, lebih 122,000 masyarakat India terima manfaat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 19 Ogos - Lebih 122,000 masyarakat India menerima manfaat terus hasil perbelanjaan RM98.9 juta peruntukan di bawah Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) bagi tahun 2024.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan peruntukan berkenaan merangkumi pelbagai inisiatif termasuk subsidi pendidikan awal, bantuan pengajian tinggi B40, program literasi STEM, serta subsidi dialisis.

"Untuk peruntukan MITRA dikatakan kita tidak menjalankan tugas ataupun kelulusan cepat, itu juga tidak benar kerana pada tahun 2024, dari RM100 juta kita sudah belanja RM98.9 juta yang memberi manfaat pada 122,082 masyarakat India.

"Kemudian untuk bantuan yang berikut ialah subsidi pendidikan awal (RM9.32 juta), bantuan pengajian Institusi Pengajian Tinggi (IPT) B40 (RM17.63 juta), ini tahun 2024, bantuan komputer riba untuk SJKT (RM29.9 juta) yang melibatkan 6000 unit komputer secara berperingkat, program pemeriksaan literasi STEM untuk murid SJKT tahun 2024 (RM218,306), program bantuan subsidi dialisis 600 pesakit (RM799 juta) dan bantuan Sinar Cahaya MITRA (RM15.49 juta)", katanya.

Datuk Seri Anwar berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat. Penyataan tersebut bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesawan.
 
Perdana Menteri turut menegaskan, dakwaan bahawa masyarakat India dipinggirkan adalah tidak berasas kerana kerajaan turut melibatkan pelbagai kementerian dan agensi dalam memastikan pembangunan komuniti tersebut terus diberi perhatian.

ROSLINA BINTI DIN